Sistem pengepaman air adalah komponen kritikal dalam operasi setiap kereta, membantu dalam menyejukkan enjin dan radiator agar enjin sentiasa berada pada suhu stabil dan kekal selamat sepanjang memandu.
Namun, sepertimana komponen automotif yang lain, pam air juga boleh mengalami masalah. Apabila terjadinya masalah, ia mungkin berpunca daripada kurangnya coolant dalam sistem penyejukan yang menyebabkan enjin menjadi overheat.
Jadi, perkongsian kali ini bertujuan untuk mengenal pasti 5 tanda utama yang menunjukkan pam air kereta kita rosak atau menghadapi masalah. Memahami tanda-tanda ini adalah penting untuk mencegah kerosakan enjin yang serius dan memastikan kereta beroperasi dengan lancar.
Mari kita mula dengan mengenal pasti tanda pertama water pam rosak: radiator coolant bocor.
No.1 Radiator Coolant Bocor
Pada radiator terdapat gasket yang berfungsi memastikan pam tidak bocor. Namun gasket ini lama-lama akan mengering menyebabkannya retak, rosak atau haus. Ini menyebabkan coolant boleh meresap keluar dan biasanya akan mengalir ke bawah kereta.
Tambahan lagi, jika kita terlihat tompokan cairan berwarna coolant, segeralah ke bengkel untuk diperiksa sebelum masalah lebih berat menimpa.
No.2 Mendapan & Hakisan Pam Air
Salah satu tanda kegagalan pam air adalah terbentuknya mendapan pada pam air dan komponen sekelilingnya. Mendapan boleh terbentuk apabila bocoran kecil pada pam air tidak dikesan dan coolant yang bocor mengering di permukaan selepas tempoh yang lama.
Ia boleh mengakibatkan hakisan jika dibiarkan terlalu lama. Hakisan pada radiator juga menunjukkan masalah dengan pam air dan sistem penyejukan.
Penemuan mendapan atau hakisan boleh menandakan coolant yang tidak sesuai, pengumpulan mineral dalam sistem penyejukan atau udara yang masuk melalui penutup tekanan radiator yang rosak.
No.3 Timing Belt Longgar & Bunyi Mendecit
Timing belt biasanya digunakan untuk menggerakkan kebanyakan pam air. Disebabkan itu, jika kita terdengar bunyi berdecit dari pam air atau timing belt semasa enjin dihidupkan, berkemungkinan timing belt sudah longgar.
Timing belt menjadi longgar boleh jadi disebabkan oleh pulley, axle atau bearing yang haus dalam pam air dan biasanya memerlukan penggantian pam air.
No.4 Enjin Kereta Overheat
Bertugas sebagai penyejuk enjin kereta, pam air apabila gagal tidak akan dapat mengepam coolant dengan berkesan lantas, boleh menyebabkan enjin menjadi terlalu panas.
Berterusan memandu dengan enjin overheat memberi kesan kepada prestasi kereta dan boleh menyebabkan kerosakan yang mahal pada enjin atau enjin boleh terbakar. Justeru, jika penunjuk suhu enjin meningkat ke tahap yang berbahaya, berhenti segera dan periksa pam air.
No.5 Radiator Keluar Asap Putih
Kegagalan pam juga boleh dilihat apabila radiator mula mengeluarkan wap atau asap putih. Ini terjadi apabila enjin terlalu panas dan menukarkan coolant menjadi wap.
Segera berhenti di tempat selamat jika terdapatnya wap keluar daripada enjin kereta semasa memandu. Dapatkan mekanik setelah enjin cukup sejuk atau dapatkan towtruck untuk menarik kereta ke bengkel yang terdekat.
Jika menghadapi sebarang daripada tanda-tanda di atas, adalah penting untuk mendapatkan kereta diperiksa oleh mekanik. Memandu dengan sistem pam air yang rosak boleh mengakibatkan kerosakan enjin yang serius atau kegagalan enjin.
Jadi, berhati-hati dan ambil tindakan yang sewajarnya jika kita mencurigai adanya masalah pada pam air kereta kita.
Hubungi Kami: 0134715084